KUCHING: Pelumba handalan Sarawak, Muhammad Luqman Daniel Mohammad Roji mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih pingat gangsa menerusi acara Akhir Kejar-Mengejar Individu Lelaki 4 Kilometer pada Perlumbaan Berbasikal Trek Remaja Malaysia (JCM) Siri I 2022 yang berlangsung di Velodrom Johor Bahru.

Daniel dari Pasukan Berbasikal Sarawak itu mencatat masa terpantas (4:44.499 saat) pada saingan tersebut.

Gagal mengatasi dua pencabarnya, Abdul Azim Aliyas dari Majlis Sukan Negara (MSN) pemenang pingat emas dengan catatan masa terpantas (4:32:826 saat) dan Waldron Chee Wen Chu dari Sabah yang juga pemenang pingat perak dengan catatan masa (4:40:721 saat).

DAPAT GANGSA…Muhammad Luqman Daniel bersama pingat dimenanginh.

Pasukan Berbasikal Sarawak pada perlumbaan tersebut turut disertai seorang lagi pelumba iaitu Harrith Affan yang turut beraksi dalam kategori sama.

Penampilan kedua-dua pelumba terbabit yang turut diiringi Ketua Jurulatih, Josiah Ng Onn Lam dan Pengurus Pasukan, Irawan Sudarsono.

Beberapa kategori dijadual dilangsungkan. Malangnya, disebabkan penularan Covid-19 dalam kalangan pasukan yang bertanding, pihak penganjur memutuskan untuk membatalkan baki acara terbabit.

Dalam pada itu, Pasukan Berbasikal Sarawak mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) atas sokongan yang diberikan.

Suara Sarawak