LIHAT…Semawi Mohammad (tengah) bersama yang lain meneliti permukaan padang Stadium Negeri, Petra Jaya.

KUCHING: Stadium Negeri, Petra Jaya akan menjadi gelanggang rasmi Sarawak United FC (SU FC) bagi perlawanan kempen Liga Super 2022 dan Kuching City FC (KC FC) untuk Liga Premier 2022.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Semawi Mohammad memberi jaminan bahawa stadium tersebut akan berada dalam keadaan terbaik sebelum sepak mula.

Sekali gus, memenuhi kriteria ditetapkan badan induk Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Tempoh masa beberapa minggu yang ada akan digunakan untuk mengemas kini gelanggang berkenaan mencakupi pelbagai aspek.

“Gelanggang ini adalah imej bagi Sarawak dan kita mahu memastikan ia berada dalam keadaan terbaik sekali gus ingin membuktikan kepada MFL bahawa kita sudah bersedia,” ujarnya pada sidang media ringkas selepas Lawatan Tapak Bersempena Liga Super dan Liga Premier di Stadium Negeri, Petra Jaya pagi tadi.

Turut serta Setiauasa Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Pazza Dan, Pengarah Teknikal FAS David Usop dan Pengarah Teknikal SU FC B. Sathiananthan.

Pada lawatan selama satu jam itu, Semawi turut meninjau bilik persalinan pemain serta melihat permukaan padang.

Kempen Liga Super 2022 akan bermula 4 Mac depan dengan SU FC akan menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Manakala, saingan Liga Premier 2022 pula menyaksikan Kuching City FC (KC FC) menentang Terengganu FC II di lokasi sama pada 19 Mac.

Suara Sarawak