SHAHRAZAT dan Nadiah bergambar bersama-sama pengasas GRC Mohd Syazwan Mustaffa.

KUCHING: Bergelar suri rumah sepenuh masa tidak menghalang Shahrazat Mohd Shahindar untuk menjana pendapatan ribuan ringgit melalui hasil titik peluh sebagai usahawan biskut.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Selangor menceburi bidang jualan biskut keluaran Gigit Rangup Cookies (GRC) dengan niat membantu suaminya untuk memberi kehidupan yang lebih baik untuk keluarganya Shahrazat, 36, mengakui suri rumah sepenuh masa juga perlu mencari peluang menjana pendapatan sendiri sebagai persiapan atau bekalan pada masa akan datang.

“Sebagai suri rumah, terdetik di hati saya untuk mencari pendapatan sendiri bagi membantu suami,” katanya.

Lebih membanggakan, kini beliau mampu tersenyum dengan pencapaiannya sebagai ejen dengan rekod jualan tertinggi pada 2021.

Beliau mula terlibat dengan perniagaan biskut sejak 2019 mendapat sokongan padu daripada suami dan keluarga.

“Saya bukan sahaja mendapat pendapatan tetapi juga dapat menambah kawan selepas menjadi ejen.

“Pada masa sama, saya juga membantu golongan wanita lain untuk menjana pendapatan,” ujarnya.

Sementara itu, Nadiah Abdullah yang berasal dari Filipina tidak menjangka mampu menjana pendapatan ribuan ringgit selepas menjadi ejen kepada syarikat membuat biskut.

“Permulaan menjadi ejen merupakan cabaran besar kepada saya kerana tidak mempunyai kawan yang ramai di sini.

“Saya mula menggunakan platform media sosial untuk memasarkan produk dan Alhamdulillah sekarang usaha saya sudah menampakkan hasil yang memberangsangkan,” jelasnya.

Suara Sarawak