KECUNDANG….Suspek bersama empat biji bateri kenderaan disyaki dicuri berjaya ditahan oleh unit MPV IPD Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN: Aksi kejar mengejar antara polis dan dua lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna berakhir apabila kenderaan tersebut terbabas ke dalam parit di Bulatan Samajaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, pihaknya telah menahan seorang suspek berumur 27 tahun manakala pemandu kenderaan terbabit berjaya melarikan diri ke kawasan kedai berhampiran.

Menurutnya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah telah mengesan kenderaan mencurigakan tersebut yang diletakkan di premis perniagaan Taman Tiya Vista, di sini kira-kira jam 1.07 pagi.

“Ketika pihak polis cuba menjalankan pemeriksaan, tiba-tiba kenderaan tersebut memecut lari ke lebuh raya Kuching-Samarahan secara melawan arus.

“Anggota mengejar kenderaan tersebut sehingga ke Bulatan Samajaya sebelum ia terbabas ke dalam parit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menjumpai empat biji bateri kenderaan pelbagai jenama, seunit spanar boleh laras dan seunit pemotong wayar di dalam kenderaan terbabit.

“Sementara hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah Methamphetamine.

“Selain turut mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut.

TERBABAS…sebuah kenderaan pelbagai guna yang dinaiki suspek terbabas ke dalam parit di Bulatan Samajaya selepas dikejar oleh unit MPV IPD Kota Samarahan, semalam.

Suara Sarawak