Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom (kiri) menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Kursus Umum dan Kursus Teras kepada Ambrose Vigilan Katau pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Institut Pertanian Sarawak, Jabatan Pertanian Sarawak. Turut disaksikan oleh Dr Alvin Chai Lian Kuet (kanan).

KUCHING: Taman Agro Teknologi Sarawak akan dibangunkan di beberapa kawasan di negeri ini bagi membantu kajian dan pemasaran produk serta tanaman ke pasaran luar.

Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, antaranya ia dirancang untuk dibangunkan di Semenggoh, Tarat dan Sebiew.

“Ia akan menjadi kawasan kajian untuk tanaman yang bersesuaian dengan kehendak industri dan masyarakat.

“Dalam masa yang sama kementerian akan meneliti kemudahan dan teknologi yang akan ditempatkan di taman tersebut bagi memastikan produk dan tanaman yang dihasil bersesuaian dengan standard yang dikehendaki pasaran luar,” katanya.

Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom bercakap ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-16 Institut Pertanian Sarawak. Foto Mohamad Azzman Rosali

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-16 Institut Pertanian Sarawak, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, sesi libat urus bersama pemegang taruh dan pemain industri besar turut diadakan bagi memastikan mereka mempunyai jaringan pasaran luar.

Beliau berkata, perancangan tersebut turut mendapat maklum balas positif dari Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dr Alvin Chai Lian Kuet.

Suara Sarawak