Datuk Gerawat Gala berucap di Majlis Makan Malam Penghargaan Jentera Pilihan Raya ke-12 Dun Mulu dan Malam Kesyukuran Tahun Baru 2022 di Kuching, semalam.

KUCHING: Isu penerbangan dengan tempat duduk terhad dan naik taraf landasan Lapangan Terbang Bario antara perkara yang akan dibincangkan bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (KPM) pada Isnin ini.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, menambah jumlah penumpang dalam satu penerbangan ke Bario, Long Seridan dan Long Banga adalah perkara utama dibincangkan pada lawatan delegasi KPM ke daerah tersebut nanti.

“Walaupun, penerbangan Maswings mempunyai 19 tempat duduk, namun mereka hanya mengehadkan kepada lapan hingga sembilan penumpang dalam satu masa.

“Ini adalah isu berterusan yang perlu dibincangkan di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Penghargaan Jentera Pilihan Raya ke-12 Dun Mulu dan Malam Kesyukuran Tahun Baru 2022 di Hotel Pullman, di sini, semalam.

Tambahnya, deligasi KPM bersama-sama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan ke Bario untuk melihat keadaan landasan bagi membolehkan Maswings membawa lebih ramai penumpang.

Turut hadir Penasihat Rurum Kelabit Sarawak (RKS) Datuk Isaac Lugun.

Suara Sarawak