Henry Jinep (dua kiri) bersama Pegawai Daerah Bau Anelia Siam (kiri), Pegawai Jabatan Pendidikan Daerah Bau Josephine Josy Nyogia (dua kanan) dan yang lain melawat tapak cadangan pemindahan SK Segong. Foto: Ramidi Subari 

BAU: Demi pendidikan anak-anak, penduduk Kampung Segong sanggup memberikan tanah dengan harapan kerajaan, khasnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat membina sekolah baharu di situ.

Ia memandangkan sekolah sedia ada iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Segong sudah dalam keadaan daif dan sering dilanda banjir.

Justeru, Menteri Muda Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep berharap KPM dapat mempertimbangkan pemindahan SK Segong, dengan membina sekolah baharu di tapak yang disediakan bertempat di Kawasan Manas Biridoh, Kampung Segong, di sini.

“Pada masa ini, kita akan menyerahkan kepada KPM untuk memasukkan cadangan kita bagi membina sekolah baharu SK Segong ini.

“Kita perlu memindahkan sekolah tersebut ke tapak yang lebih besar dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SK Segong, di sini, hari ini.

Tambah Henry yang juga Adun Tasik Biru, keluasan tanah yang telah disediakan bagi pembinaan sekolah itu seluas 10 ke 12 ekar.

Katanya, keluasan tanah itu mencukupi kerana tanah komuniti itu besar dan sesuai jika sekolah diletakkan di kawasan berkenaan.

“Apabila kita sudah mengenal pasti tapak, ia terpulang kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah atau KPM untuk membawa perkara ini ke peringkat atasan bagi isu peruntukan.

“Tapak telah disediakan, berharap peruntukan dapat dimasukkan dalam masa terdekat ini,” jelas Henry sambil menambah bahawa ia perlu dilaksanakan dengan secepatnya.

Suara Sarawak