SARIKEI: Sepasukan anggota Bomba terpaksa dikerahkan untuk memadam kebakaran sampah dipercayai sengaja dibakar individu tidak bertanggungjawab di Merudu, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, Bomba dengan kekuatan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.37 pagi.

Katanya, insiden itu disedari oleh penduduk yang kebetulan melalui kawasan kejadian sebelum bertindak menghubungi Bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Ini merupakan kejadian kali keempat berlaku di kawasan yang sama walaupun sebelum ini kita pernah mengeluarkan amaran dan nasihat.

Mahmudin melakukan tinjauan susulan di lokasi selepas operasi pemadaman selesai.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mengundang bahaya tetapi juga risiko kerugian yang besar,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Mahmudin menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa mengesan individu yang terlibat di samping memastikan kejadian berkenaan tidak terus berulang.

Dalam operasi itu ujarnya, Bomba bertindak menggunakan satu aliran, salur bantu mula, air dari tangki jentera untuk memadamkan kebakaran tersebut.

“Api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.58 pagi dan sejurus selesai, kita melakukan pemantauan susulan bagi mengelak kebakaran berulang,” katanya.

Mahmudin turut mengingatkan orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran di kawasan berkenaan kerana boleh mengundang risiko kebakaran terbuka yang tidak terkawal.

Suara Sarawak