Tarikan pelitup muka Norani
NORANI MANTARIL

MESKIPUN kadar kes Covid-19 di negeri ini agak menurun ketika ini, namun orang ramai masih digalak menggunakan pelitup mulut dan hidung ketika berada di tempat awam terutamanya ketika berbual-bual dengan pasangan.

Langkah ini perlu bagi menjamin orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan virus Covid-19 atau seumpamanya terutama ketika berada di khalayak ramai.

Berikutan kesedaran ini, alat pelitup muka masih dijual di mana-mana kedai, dan orang ramai diwajibkan menggunakan alat ini ketika masuk ke kedai, pasar raya, pejabat, sekolah, tempat ibadat atau pelbagai majlis keramaian termasuk menziarahi jenazah.

Menggunakan pelitup muka sebahagian daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengekang wabak Covid-19 yang berbahaya itu.

Pelitup muka yang dijual atau yang dihasilkan oleh pengeluar mempunyai pelbagai bentuk, rupa dan warna bagi menarik minat dan perhatian orang ramai yang membelinya.

Menyedari hakikat ini, seorang wanita, Norani Mantaril mengusahakan pelitup muka dengan menggunakan kain batik yang pelbagai corak dan warna.

Kain batik yang digunakan untuk membuat pelitup muka ini hasil kursus atau latihan membuat kain batik blok yang dihadirinya di Sadong Jaya.

Pelitup muka ini dibuat sebagai pelengkap kepada pelitup muka yang dijual di farmasi atau kedai runcit yang lain.

Dengan kata lain, pelitup separuh muka yang dihasilkan oleh Norani ini boleh dijadikan sebagai pelitup tambahan kepada pelitup muka sedia ada.

Menurut wanita berusia 39 tahun ini, beliau mendapat kemahiran membuat pelitup muka ini setelah mengikuti Makmal Jahitan Pelitup Muka Batik Sarawak di Rumah Usahawan Wanita, Sadong Jaya tahun lalu.

Makmal ini dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Cawangan Sarawak.

Kata Norani, hasil makmal inilah yang mendorongnya membuat pelitup muka menggunakan kain batik yang pelbagai corak.

Selain kain yang bercorak batik, Norani juga menghasilkan pelitup muka dengan bercorakkan budaya masyarakat lain seperti pua kumbu.

“Pada masa ini hasil pelitup muka yang saya hasilkan mendapat sambutan daripada penduduk setempat.

“Pelitup muka yang saya hasilkan bukan sekadar sebagai pelindung tambahan, sebaliknya sebagai satu tarikan kepada yang menggunanya,” katanya ketika ditemui.

Pada masa ini Norani menjual hasil pelitup muka kepada penduduk setempat iaitu di Gedong, Simunjan dan Kota Samarahan selain tempat tinggalnya di Kampung Ensengei Melayu dekat Gedong dengan harga yang berpatutan.

Norani merupakan pelatih pembuatan batik blok di pusat latihan kraf tangan di Sadong Jaya.

Kain batik dihasilkan secara blok turut banyak menerima tempahan oleh orang ramai.

“Oleh sebab ini saya berhasrat untuk mencari tapak untuk memasarkan hasil batik dan pelitup muka saya ini selain memasarkannya melalui media massa seperti Facebook.

“Alhamdulillah, sedikit hasil yang diperoleh daripada penjualannya dapat membantu menampung keperluan perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.

Suara Sarawak