SEMANGAT…. Suhaili (tujuh dari kiri) bersama pemain Badminton Para Sukma Sarawak ketika ditemui menjalani perlawanan persahabatan

KUCHING: Seramai 12 pemain Badminton Para Sukma Sarawak akan menyertai Kejohanan Sirkit 1 dan 2 Para Badminton Kebangsaan 2022 yang akan berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Pembabitan pemain tersebut sebagai persediaan untuk mengharungi temasya Para Sukma Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada bulan Oktober ini.

Ketua Jurulatih, Suhaili Laiman memberitahu, senarai rasmi pemain yang akan berentap pada temasya berprestij pada bulan Oktober di Kuala Lumpur dijangka akan diumumkan sebaik selesai kejohanan itu pada bulan Julai.

“Kita akan pergi bersama-sama kesemua 12 pemain termasuk pelapis-pelapis baharu bermula 24 Mac hingga 27 Mac.

“Setakat ini, pemain yang akan mewakili Para Sukma belum dimuktamadkan lagi kerana kita mahu membuat penilaian terlebih dahulu,” kata beliau kepada Arena Suara Sarawak.

Setakat ini jelasnya, penampilan dua pelapis baharu menunjukkan potensi mampu memberi saingan dalam kategori masing-masing.

Kesemua 12 pemain terdiri daripada kategori SU5, SU4, SU3, kategori wanita dan juga kategori kerusi roda.

Suara Sarawak