KUCHING: Pengurus Kuching City FC II (KC FC II), Ahmad Zaki Zaidi berharap pemainnya dapat menterjemah pengalaman yang diperoleh dari beberapa perlawanan persahabatan yang dilalui sebelum ini.

Sekali gus ia menjadi penanda aras untuk tampil lebih baik pada saingan sebenar kempen Piala Presiden 2022.

“Sepak mula kempen Piala Presiden 2022 dua minggu dari sekarang. Saya berharap pemain dapat menterjemah pengalaman yang diperolehi semasa mengharungi beberapa aksi persahabatan semasa perlawanan sebenar nanti,” ujar Ahmad Zaki kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan persiapan pasukan pelapis itu.

Tambahnya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi semasa pemainnya ketika ini.

Pun begitu, beliau juga percaya tempoh masa yang ada akan dipergunakan dengan sebaik mungkin oleh ketua jurulatih (Kamarudin Anuar) untuk memperkemas jentera semua posisi.

Barisan pemain muda skuad terbabit Rabu lalu menguji kekuatan sang abang (KC FC).

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya dengan kemenangan (6-0) dicatat anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim.

Suara Sarawak