KUCHING: Pindaan perlembagaan melibatkan penukaran terma Ketua Menteri kepada Premier bertujuan mengiktiraf status istimewa Sarawak dan tidak mempunyai agenda tersembunyi.

Menteri Muda Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pindaan tersebut selari dengan status Sarawak sebagai wilayah, bukannya untuk meminta lebih kuasa.

Menteri Muda Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali

“Pindaan tersebut tidak mempunyai agenda lain, cuma untuk memastikan rakyat tahu bahawa Sarawak berstatus wilayah dan rakan kongsi kepada Sabah dan Semenanjung dalam pembentukan Malaysia.

“Tetapi ada masyarakat yang salah faham dan mengatakan kita mahukan kuasa lebih, itu tidak benar. Kita hanya mahu menunjukkan status sebagai rakan setara dan tidak menyalahgunakan perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Penangguhan Seminar Keluarga Rabbani sempena Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Tegasnya, pindaan ini perlu dilaksanakan bagi mengiktiraf status istimewa Sarawak yang telah dikembalikan selepas berkuatkuasanya Perlembagaan (Pindaan) 2022 selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Terdahulu pada 15 Februari lalu, DUN Sarawak telah meluluskan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 melibatkan beberapa aspek khasnya perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak menggantikan terma Ketua Menteri kepada Premier.

Turut dipinda di bawah RUU berkenaan adalah Perkara 7A bagi menggantikan jawatan ‘Menteri Muda’ kepada ‘Timbalan Menteri.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak