KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk tidak mewajibkan pemeriksaan suhu badan di premis institusi pendidikan di bawah KPM berkuat kuasa esok.

KPM dalam kenyataannya hari ini berkata, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat hanya diwajibkan mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.

Sebagai langkah keselamatan jelasnya, ibu bapa atau penjaga dimohon supaya memastikan anak atau anak jagaan mereka berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah.

“Murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga disahkan positif serta tinggal serumah, tidak dibenarkan hadir ke sekolah,” katanya.

Ujarnya, tahap kesihatan murid di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.

“KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM,” katanya lagi.

Ketetapan itu dibuat susulan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Selasa lalu berkaitan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk di premis bermula esok.

Suara Sarawak