Tiga Pati diusir, enam ditahan
TAHAN… seorang tekong dan enam Pati warga Indonesia ditahan di ICQS Lubok Antu. Kesemua mereka termasuk barang rampasan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

LUBOK ANTU: Cubaan sembilan pendatang asing tanpa izin (Pati) memasuki negeri ini secara tidak sah digagalkan oleh pasukan keselamatan menerusi dua serbuan berasingan pada semalam dan hari ini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen berkata pada serbuan pertama, anggota mengesan tiga orang lelaki ketika menjalankan penugasan serkap di ladang kelapa sawit kawasan sektor Pos Gabungan Bersama (GABMA) Malaysia dan Indonesia, Lubok Antu kira-kira jam 9.30 malam semalam.

Katanya, pemeriksaan terhadap tiga Pati berumur lingkungan 21 hingga 30 tahun didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Tiada barang terlarang dijumpai dan tujuan tujuan mereka datang ke Malaysia adalah untuk mendapat pekerjaan.

“Kesemua mereka dibuat pengusiran selepas laporan polis dibuat di Ibu Balai Polis Lubok Antu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara pada serbuan kedua katanya, pasukan keselamatan menahan sebuah kenderaan mencurigakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu kira-kira jam 12.30 pagi hari ini.

Katanya, kenderaan dipandu seorang lelaki warga tempatan dipercayai tekong membawa enam Pati warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 30 hingga 55 tahun.

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Antu dan kesemua yang ditahan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 53,851.90 melibatkan sebuah kenderaan, lima buah telefon bimbit berserta wang tunai.

USIR…tiga Pati warga Indonesia diusir pasukan keselamatan di ladang kelapa sawit kawasan sektor Pos Gabungan Bersama (GABMA) Malaysia dan Indonesia, Lubok Antu.

Suara Sarawak