Senjata: tertuduh Zulhamizan (tengah), Salehan (dua kiri), Abdul Majid (dua kanan) dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Sesyen.

KUCHING: Tiga rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki senjata berbahaya di tempat awam dalam kejadian pecah masuk rumah, Januari lalu.

Tertuduh Zulhamizan,27, Abdul Majid, 29 dan Salehan, 29, masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah sabit dalam satu kejadian pecah masuk sebuah rumah yang masih diubah suai.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa telah melakukan pecah masuk sebuah rumah yang masih dalam proses ubah suai milik Akhmad Jamalul, 28.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, jika disabit bersalah, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua pertuduhan terbabit dilakukan di Jalan Tanjung Embang Matang FAC, sekitar jam 3.30 pagi, 30 Januari lepas.

Semasa sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Aiman Mutallib Mohamad Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Namun demikian, ketiga-tiga tertuduh memohon agar diberikan ikat jamin kerana ada masalah keluarga yang perlu ditanggung.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan dan menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 9 Mac depan.

Suara Sarawak