Rundi meninjau halia segar yang ditanam di TKPM Rampangi.

KUCHING: Sarawak dijangka menjadi pengeksport utama industri makanan apabila beralih kepada pertanian moden, kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi.

Menurutnya, kementerian beliau sedang mencari jalan untuk menjadikan pertanian sebagai industri yang menguntungkan dengan penggunaan teknologi.

Beliau menambah bahawa kerjasama dengan sektor swasta dalam industri pertanian akan menjadikan ia berkembang maju serta mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk tempatan.

“Saya telah bertemu dengan Jabatan Pertanian dan agensi lain di bawah bidang kuasa kementerian bagi membincangkan usaha untuk memenuhi sasaran kerajaan dalam industri ini dan berjaya dicapai menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi di Kuching, semalam.

Tambahnya bagi mencapai matlamat untuk menjadikan pertanian sebagai industri yang menguntungkan, pihaknya perlu mengubah pertanian konvensional kepada pertanian yang menguntungkan.

Rundi berkata, Sarawak mempunyai kelebihan dalam bidang pertanian dengan tanah yang luas yang boleh digunakan untuk aktiviti pertanian – akuakultur, perikanan darat dan lain-lain.

TKPM Rampangi merupakan satu-satunya tempat yang menggunakan konsep Internet Pelbagai Benda (IoT) untuk mengembangkan dan menghasilkan produk makanan yang berkualiti.

Suara Sarawak