KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak pernah berdiam diri dalam usaha mengekang gejala rasuah dan salah guna kuasa melibatkan sektor awam di negeri ini.

Sejajar dengan usaha itu kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha untuk membudayakan integriti, menambah baik tadbir urus dan membasmi rasuah.

Menurutnya, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International (TI) mendedahkan bahawa Malaysia berada di kedudukan ke-62 daripada 180 negara melibatkan isu rasuah sektor awam.

“Ini bermakna CPI malaysia telah jatuh selama dua tahun berturut-turut, pada 2020 negara berada di kedudukan ke-57, manakala pada 2019 ia diletakkan di kedudukan 51,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena perasmian Majlis Amanat Perdana Integriti 2022 yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas disiarkan secara langsung menerusi Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) hari ini.

Tambahnya, usaha ini mungkin boleh diusahakan melalui Unit Integriti dan Ombudsman (Union) dari segi kerjasama dengan pihak yang mempunyai kepakaran untuk membangunkan mekanisme pengukuran indeks persepsi rasuah di peringkat negeri.

“Saya yakin Sarawak berada pada landasan yang betul kerana negeri ini telah membina satu asas yang kukuh dengan objektif yang jelas dalam menangani permasalahan rasuah, tadbir urus dan integriti.

“Kita telah menetapkan pelbagai inisiatif yang menjadikan sarawak selangkah ke hadapan berbanding negeri lain di Malaysia dengan mewujudkan Ombudsman sebagai mekanisme semak dan imbang,” ujarnya.

Suara Sarawak