SIBU: Adun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing disahkan positif Covid-19, hari ini.

Perkara ini disahkan beliau sendiri menerusi satu kenyataan sebentar tadi.

“Dengan rasa berat hati dan dukacita ingin saya maklumkan kepada semua bahawa saya telah disahkan dijangkiti Covid-19.

“Saya sudah berasa tidak sihat sejak semalam dan terus menjalankan ujian Covid-19 ‘ID NOW’ dan keputusannya positif,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing

Menurutnya, untuk mendapatkan lebih kepastian, beliau turut menjalani ujian RT-PCR pada pagi tadi dan ternyata beliau telah dijangkiti wabak tersebut.

Rentetan itu, katanya, beliau kini sedang menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, kedua-dua pusat khidmatnya di Bintulu dan Dudong juga terpaksa ditutup sementara waktu susulan terdapat kakitangan yang turut disahkan positif.

“Semua kakitangan itu juga kini sedang menjalani kuarantin. Jika terdapat sebarang keperluan atau pertanyaan daripada rakyat, mereka boleh terus menghubungi kakitangan pusat khidmat atau telefon bimbit saya.

“Dalam tempoh kuarantin ini, saya akan sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat Bintulu dan Dudong dengan apa cara sekalipun. Saya berharap anda semua memahami situasi ini untuk tempoh sementara waktu,” kata Presiden PDP itu.

Beliau dalam pada itu turut menyarankan kepada sesiapa sahaja yang pernah bertemu dengannya dalam masa terdekat ini untuk melakukan ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri.

“Kita tidak boleh jangka virus ini berada di mana dan akan menyerang siapa, begitu juga saya. Saya tidak pasti bila dan di mana dijangkiti wabak ini.

“Jadi saya harap semua pihak dapat mengambil serius keadaan ini. Sebarang kesulitan amat saya kesali, dan saya juga mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada semua,” tambahnya.

Suara Sarawak