KUCHING: Seorang wanita berasal dari Muar, Johor dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan memperdaya seorang lelaki dalam urusan sewa sebuah kereta MPV mewah hingga mengalami kerugian RM343,000.

Tertuduh May Ling, 46, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memperdayakan Nicholas,35, untuk menyewakan kereta jenis Toyota Alphard di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), kira-kira jam 12.30 tengah hari, 2 Oktober 2020.

Tertuduh juga telah membuat pembayaran deposit sebanyak RM200 pada 29 September 2020 ke sebuah akaun milik sebuah syarikat sewa kereta.

Beberapa hari kemudian, tertuduh sekali lagi membuat pembayaran RM3,500 secara tunai untuk menyewa selama lima hari bagi tujuan melansungkan perkahwinan.

Selepas tempoh sewa kereta itu tamat, wanita itu gagal menggembalikan kepada pengadu seperti yang dijanji dan mendapati tertuduh telah balik meninggalkan KIA pada 2 Oktober 2020.

Pengadu mengalami kerugian berjumlah RM343,000 kerana sehingga laporan polis dibuat kerana kereta miliknya tidak diserahkan dan tidak dijumpai.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak