KUCHING: Kerajaan Sarawak dijangka menubuhkan Pihak Berkuasa Pelancongan Tasik dalam tempoh lima tahun bagi mengawal selia pembangunan aktiviti pelancongan melibatkan tasik-tasik buatan atau empangan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia memandangkan Sarawak mempunyai banyak tasik buatan atau empangan, yang berpotensi dijadikan sebagai tarikan pelancong.

“Kita mempunyai tiga sumber tenaga daripada empangan iaitu elektrik, ladang solar dan hidrogen.

“Selain itu, tasik buatan kita ini juga mampu menjadi tarikan pelancong, dalam erti kata lain perkara ini akan melimpahkan pembangunan untuk sektor perkhidmatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Sarawak (CMIEA) 2021 anjuran Persekutuan Persatuan Perniagaan Sarawak (SBF) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak juga berhasrat untuk menjadi peneraju kepada ekonomi hidrogen.

Katanya, ia memandangkan usaha pembangunan hidrogen di negeri ini sudah menunjukkan hasil yang positif.

BERUCAP… Abang Johari berucap sempena perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Sarawak (CMIEA) 2021 anjuran Persekutuan Persatuan Perniagaan Sarawak (SBF) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi. Foto RAMIDI SUBARI

Suara Sarawak