Tujuh rakan bersama peguam bela berada di luar Mahkamah Sesyen selepas selesai kes pendakwaan.

KUCHING: Tujuh rakan menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan rogol berkumpulan terhadap seorang remaja berusia 15 tahun.

Hakim Jason Juga membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketujuh-tujuh tertuduh berusia 19 hingga 31 tahun di akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada tahun 2020, seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk mangsa, pihak polis, doktor dan dua rakan mangsa

Difahamkan, keterangan mangsa dan saksi kejadian bercanggah selain daripada tidak disokong keterangan yang lain.

Berdasarkan pertuduhan, tujuh sahabat tersebut didakwa melakukan rogol berkumpulan terhadap remaja wanita berusia 15 tahun di Pantai Pandan Lundu, kira-kira jam 9.00 malam pada 7 Julai 2019.

Semasa kejadian terbabit, tiga daripada tujuh tertuduh adalah remaja bawah umur berusia 17 tahun, manakala yang lain berusia 20 tahun hingga 29 tahun.

Oleh itu, pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun, jika disabit bersalah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan manakala empat tertuduh diwakili Peguam Hani Iryani Bonny dan selebihnya diwakili Peguam Abdul Rahman Mohd Hazmi, Christopher Bada dan Roy Gingkoi.

Suara Sarawak