Anggota Balai dan Penyelamat Sarikei menangkap ular sawa yang tersesat ke dalam reban ayam milik penduduk di Jalan Semah Sarikei.

SARIKEI : Bunyi riuh di dalam reban mengejutkan penghuni sebuah rumah sehingga membongkar penemuan seekor ular sawa yang kekenyangan selepas membaham dua ekor ayam dalam satu kejadian di Jalan Semah di sini, awal pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku ketika penghuni rumah itu sedang nyenyak tidur kira-kira jam 3.15 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, bunyi bising haiwan itu mengejutkan penghuni sebelum bangun dan bergegas memeriksa reban ayam di belakang rumahnya.

“Ketika pemilik memeriksa rebannya, dia terkejut setelah mendapati ada ular sawa di dalamnya.

“Dia yang bimbang dengan keselamatannya terus menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi.

Mahmudin berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.29 pagi.

Sebaik tiba di lokasi katanya, anggotanya mendapati haiwan yang sedang kekenyangan itu masih berada di dalam reban.

“Kita mengambil masa lebih setengah jam untuk menangkap haiwan itu dengan menggunakan penjerut ular.

“Sebaik berjaya ditangkap, ia kemudiannya dilepaskan di habitat asal yang jauh dari penempatan penduduk.

“Pada masa yang sama, kita juga melakukan pemeriksaan susulan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum bertolak balik ke balai,” ujarnya.

Suara Sarawak