Universiti i-Cats bakal dibina di Kawasan Kampung Trombol

KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal membangunkan Universiti Kolej Teknologi Lanjutan Sarawak (Universiti i-Cats) di kawasan Kampung Trombol, Telaga Air di sini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut juga sejajar dengan usaha untuk melahirkan ummah atau masyarakat yang berilmu di negeri ini.

“Malam ini (27 Februari) saya umumkan di kawasan Kampung Trombol, kita akan membangunkan universiti.

“Namun, kalau terdapat masalah untuk melanjutkan pengajian dari segi biasiswa, saya dan rakan-rakan akan berusaha mencari jalan untuk membantu dengan cara memberikan biasiswa dan pinjaman pengajian menerusi Yayasan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran ke-61 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Majma, Kompleks Islam Sarawak di sini, malam tadi.

Abang Johari ketika ditemui pemberita selesai majlis tersebut turut memberitahu ia bakal dilaksanakan kerana i-Cats telah dinaik taraf sebagai universiti kolej.

“Fokusnya bukan pada bidang tertentu tetapi banyak disiplin yang ditawarkan khususnya berhubung dengan teknologi,” ujarnya.

Untuk rekod, i-Cats telah dinaik taraf sebagai Kolej Universiti pada 3 Disember 2020 dan Abang Johari juga merupakan Canselor pertama pusat pengajian tersebut.

 

Suara Sarawak