KUCHING: Padah memecahkan mangkuk mi kolok milik sebuah kedai makan, seorang wanita dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara sepuluh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Liu Chin Yun, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Berdasarkan pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu di sebuah kedai makan di Taman Desa Wira, sekitar jam 8.40 pagi, 4 Februari lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, tertuduh datang ke kedai berkenaan lalu membuat kacau dengan merosakkan barang di dalam kedai terbabit.

Selain itu, dia juga dilaporkan sering menghubungi pemilik kedai yang merupakan ibu pengadu sehingga menganggu kerja harian.

Difahamkan juga, ia bukan pertama kali tertuduh melakukan perbuatan itu dan pengadu tidak tahu punca dia bertindak sedemikian.

Pengadu kemudian membuat laporan polis, yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak