Wanita didenda RM4,000 kerana curi syampu, lampu suluh

KUCHING: Padah curi syampu, lampu suluh dan beberapa ‘deodoran’ di sebuah pasar raya, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Zur Kamiena Aida Kamal, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda dihadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuatkuasa hari ini dan sekiranya gagal membayar denda tertuduh akan dipenjarakan enam bulan.

Berdasarkan pertuduhan, dia mencuri enam botol syampu bernilai RM69, seunit lampu suluh basikal berharga RM39 dan sembilan unit ‘deodoran’ bernilai RM47.70 di sebuah pasar raya dengan jumlah keseluruhan RM155.70 di Jalan Matang di sini, kira-kira jam 8.00 malam, 3 Mac 2021.

Menurut fakta kes, pengadu (Penyelia pasar raya) membuat pemeriksaan rondaan di dalam kedai melihat seorang wanita dalam keadaan mencurigakan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak