Operasi SAR sedang dijalankan.

SIBU: Lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas hilang ketika memukat ikan berdekatan Pangkalan Feri Sungai Maaw, Paradom di sini, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Sia Yii Jeng, 63, dikatakan turun ke Sungai Rajang pada pagi semalam namun tidak balik, membuatkan isterinya melaporkan mengenai kehilangannya di Balai Polis Lanang pada jam 8.30 malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Dr Collin Babat berkata berdasarkan laporan isteri mangsa, dia berjanji untuk balik pada jam 12.30 tengahari namun sehingga sekarang gagal ditemui.

“Mangsa berhasrat untuk menghantar anak mereka ke Lapangan Terbang Sibu selepas pulang daripada memukat ikan.

“Tetapi mangsa tidak balik ke rumah pada masa yang sepatutnya membuatkan isterinya mulai bimbang,” katanya yang dihubungi, hari ini.

 

Collin menambah isteri mangsa ada cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal, memaksanya dan ahli keluarga pergi mencari di kawasan berdekatan.

Ketika mencari, katanya mereka menemui kereta milik mangsa dalam keadaan berkunci di kawasan jeti Nan Chong berhampiran pangkalan Feri Sungai Maaw kira-kira jam 4 petang.

“Usaha mengesan mangsa masih giat dijalankan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang,” katanya sambil menambah operasi SAR dimulakan jam 9 pagi hari ini.

Collin berkata setakat jam 9.50 pagi tadi, pasukan SAR hanya menemui perahu milik mangsa di Tanjung Ensurai tidak jauh dari pangkalan feri berkenaan.

OPerasi SAR melibatkan seramai 17 orang termasuk sembilan anggota polis dari Balai Polis Lanang dan Pasukan Polis Marin (PPM) Sibu, empat anggota masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sibu menggunakan tiga buah bot.

Suara Sarawak