MUKAH: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan oleh pihak polis petang tadi kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan dilakukan oleh polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah di hadapan sebuah bilik rumah pekerja di sebuah ladang sekitar jam 2.30 petang tadi.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan telah merampas satu kotak rokok berwarna putih bertulis L.A Light yang mengandungi satu keratan straw lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.24 gram.

“Semua barang berkenaan dirampas dan suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah untuk tindakan lanjut sebelum ditahan di lokap Balai Polis Mukah,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil siasatan awal mendapati suspek yang berusia 21 tahun yang berasal dari Sulawesi Selatan Indonesia itu terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak awal September 2021 sehingga sekarang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama iaitu boleh dipenjarakan selama tidak lebih 5 tahun atau didenda tidak lebih dari RM 100,000 atau kedua-duanya sekali.

SUSPEK DISERBU… seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan pihak polis di sebuah rumah pekerja di sini pada petang tadi kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dada

Suara Sarawak