Tertuduh dibawa keluar oleh Anggota polis selepas sebutan kes di Mahkamah Sesyen.

KUCHING: Bekas tukang masak warga asing dijatuhi hukuman penjara satu tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan tinggal di negara ini lebih masa, selepas Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tamat tempoh lebih lima tahun yang lalu.

Tertuduh Deden Muhammad Padilah, 22, dari Indonesia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Maris Agan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) Akta yang sama, kerana tiada dokumen kebenaran yang sah berada di Sarawak, Malaysia selama lima tahun enam bulan selepas permit pekerja asing sementara tamat tempoh pada 9 Ogos 2017.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Menurut fakta kes, suspek yang merupakan orang dikehendaki ditahan oleh sepasukan polis di sebuah bilik sewa di Jalan Satok, kira-kira jam 3.50 petang, 16 Februari 2022.

Hasil siasatan, tertuduh merupakan warga Indonesia telah masuk ke Malaysia dengan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Semakan daripada Jabatan Imigresen mendapati PLKS tertuduh hanya sah sehingga 9 Ogos 2017.

Sementara itu, tertuduh juga berhadapan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan kerana merogol seorang wanita tempatan berusia 29 tahun.

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk terbabit di bilik sewa yang sama, kira-kira jam 6 pagi, 12 Februari lepas.

Difahamkan, tertuduh dan mangsa merupakan pasangan kekasih yang bersama-sama bekerja di sebuah restoran makanan terkemuka.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya iaitu Md Syafique Md Hilme dan Tan Chuan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak