Pencarian awal berhampiran tempat mangsa, lelaki warganegara Myanmar dipercayai hilang.

LINGGA: Lelaki warga Myanmar yang bekerja di Kapal Ketara Sepuluh disyaki hilang selepas terjatuh ke Sungai Lingga sebelum dihanyutkan arus deras.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Sri Aman Kapten Siti Huzaimah Ibrahim, mangsa berusia 35 tahun itu dikenali sebagai Thein Wai Maung.

“Berdasarkan maklumat saksi yang berada di lokasi, insiden berlaku kira-kira jam 10.50 pagi di Sungai Lingga.

“Pekerja kapal warganegara Myanmar itu dipercayai terjatuh lalu dihanyutkan arus deras,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jelas Huzaimah, saksi di lokasi cuba menyelamat namun mangsa telah tenggelam.

Lelaki tersebut menggunakan kasut keselamatan, berbaju lengan panjang warna hijau dan menggunakan seluar panjang.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah memeriksa keadaan di lokasi dan operasi akan bermula esok.

Suara Sarawak