Wartakan tanaman pokok nipah kawasan pesisir

KUCHING: Adun Daro Safiee Ahmad mencadangkan agar tanaman pokok nipah yang tumbuh di sepanjang kawasan pesisir diwartakan sebagai tanah hak adat bumiputera (NCR) untuk komuniti di kawasan tersebut.

Tegasnya, ia perlu dikekalkan supaya tidak dimusnahkan untuk pembangunan semata-mata.

“Hal ini kerana pembangunan perusahaan produk-produk ini kebanyakannya diusahakan oleh penduduk tempatan secara turun-temurun.

“Turut diakui, produk nipah kebangggan rakyat Sarawak merupakan Garam Apong dan Gula Apong berpotensi untuk mendominasi pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan menyokong usul Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (SDNB) 2022 di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berpendapat bahawa penubuhan lembaga tersebut merupakan langkah yang proaktif dan sangat signifikan kerana produk yang berasaskan sagu dan nipah berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.

“Bagaimanapun, saya percaya bahawa pelaksanaan lembaga ini memerlukan kepakaran dan pegawai yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas mengenai nipah dan sagu bagi memastikan ia menuju ke landasan yang betul dan menguntungkan ekonomi negeri ini.

“Dalam pada itu, pendekatan teknologi moden perlu diperkenalkan untuk memastikan produk ini kekal mampan dan bersedia untuk memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa yang berpotensi,” jelasnya.

Malah ujarnya satu lagi faktor penting yang perlu dipertimbangkan oleh lembaga ini adalah menyediakan program latihan dan pembangunan kemahiran yang betul kepada orang ramai yang berminat untuk menceburi industri ini.

Suara Sarawak