KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik terbaru sindiket penipuan dalam talian melalui kaedah fail ‘Android Package Kit’ (APK).

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata sindiket telah dikenalpasti mengiklankan barangan melalui media sosial sebelum mangsa menghubungi suspek melalui Whatsapp dan diarahkan memuat turun fail APK pada Android.

Menjelas lanjut, beliau berkata mangsa kemudian akan memasukkan maklumat nama, nombor kad pengenalan dan alamat emel untuk pendaftaran mencipta akaun.

“Seterusnya mangsa membuat pembayaran melalui kad kredit atau perbankan dalam talian FPX sebelum memasukkan maklumat butiran kad kredit seperti nombor kad, CVV dan tarikh luput (pembayaran secara kad kredit) atau butiran kata nama dan kata laluan (perbankan dalam talian).

“Apabila mangsa menekan butang hantar, paparan ‘Page Error’ akan terpapar.

“Proses ‘login’ tidak berjaya kerana APK ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan yang tulen,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Mancha berkata setakat ini, polis kontinjen Sarawak tidak menerima apa-apa laporan polis berhubung tren baru jenayah penipuan dalam talian melalui kaedah fail APK.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai untuk menghubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Infoline di talian 013-211 1222 (Whatsapp/SMS) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes jenayah dalam talian.

Suara Sarawak