Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab ketika meninjau lokasi kejadian kapal pengangkut jentera berat yang karam di Sungai Serdeng, hari ini.

SARIKEI:  Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab turun padang meninjau lokasi kejadian kapal pengangkut jentera berat yang karam di Sungai Serdeng, hari ini.

Beliau ke lokasi terbabit dengan menaiki bot bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sebelum berjumpa dengan keluarga mangsa di jeti Kampung Sedau.

Yusuf turut berkesempatan menyampaikan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa selain untuk membantu membeli makanan dan minyak bot.

Selain itu beliau menghulurkan sumbangan berupa makanan dan minuman kepada agensi yang terlibat SAR.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam usaha SAR, terutama pihak Balai Bomba Tanjung Manis, Balai Polis Bintangor, Lembaga Sungai(LSS), Polis Marin Sarikei dan penduduk kampung.

“Saya mendoakan agar mangsa dapat ditemui secepat mungkin.

“Takziah kepada ahli keluarga mangsa, semoga mereka tabah dan  sabar dengan dugaan yang menimpa,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis, Wan Umar Wan Alex berkata, operasi SAR bermula pada jam 9 pagi dengan jangkaan radius sejauh enam hingga tujuh kilometer.

Pencarian permukaan sungai itu katanya, dilakukan di sekitar Batang Serdeng dan Telok Gelam.

Suara Sarawak