KUCHING: Seorang penghantar makanan maut dalam kemalangan kendiri selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Samariang, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, pemuda berumur 20 tahun itu mengalami kecederaan di kepala dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 11.35 pagi.

Katanya, ketika kejadian mangsa sedang bergerak dari arah persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Tengah menghala ke bulatan Samariang.

“Setibanya di lokasi, mangsa telah hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan lalu melanggar sebatang tiang lampu di pembahagi tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan dan di bawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Motosikal mangsa terbabas lalu melanggar sebatang tiang lampu pembahagi jalan di Jalan Samariang, di sini.

Suara Sarawak