KUCHING: Sebanyak 1,542 pewaris pemilik Kenyalang Gold Card (KGC) menerima tuntutan yang diluluskan dengan jumlah perbelanjaan RM4,626,000 setakat 11 Mac lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, KanakKanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohamad Razi Sitam berkata, antara kelebihan pemegang KGC ini ialah waris boleh menuntut bantuan ihsan kematian berjumlah RM3,000 dengan menerima bayaran secara sekali.

“Sejak KGC diperkenalkan pada tahun 2020, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching (PKBMK) menerima 64,926 permohonan dan berjaya mengagihkan 62,154 kad serta berbaki 8,017 kad yang perlu diagihkan. “Untuk program hari ini, kita menjangkakan sebanyak 2,778 kad diterima pemohon bagi kawasan Petra Jaya dan kawasan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Satellite Office, Jejak Kenyalang Gold Card dan Perkhidmatan Kebajikan di Pusat Beli-Belah Eco, Petra Jaya, semalam. Tambah Razi, sebanyak 46 rakan stratergik vendor telah mendaftar menyertai program KGC dengan menyediakan diskaun atau rebat atas barangan keperluan harian seperti barangan keperluan dapur, makanan, penjagaan kesihatan, telekomunikasi dan pengangkutan.

Oleh itu, beliau menyeru lebih banyak lagi syarikat korporat menghulurkan sumbangan dan berkolaborasi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS). “Saya difahamkan beberapa agensi seperti Petronas dan e-mart turut menjadi Rakan Stratergik PKMB Kuching dalam mengendalikan program berimpak tinggi dengan menghulurkan sumbangan semasa musim perayaan.

Semasa program tersebut, sebanyak 66 kerusi diagihkan kepada beberapa pusat kebajikan dan kampung seperti Kampung Panglima Seman Lama (10 buah), Pawe Sri Satok (21 buah), Desa Bina Diri (10 buah), Rumah Seri Kenangan, Kuching(15 buah) dan PDK Sentuhan Kasih(10 buah).

Selain itu, seorang ketua keluarga Chan Vie Pien menerima bantuan cek berjumlah RM3,000 untuk kes bencana ribut. Manakala, Juliana Buma David menerima RM300 beserta barang-barang keperluan untuk bantuan bencana kebakaran.

Suara Sarawak