BAU: Keseronokan lapan pelajar universiti melakukan aktiviti mendaki Gunung Bung Muan, di sini semalam bertukar detik cemas apabila salah seorang dari mereka mengalami sesak nafas.

Mangsa, 18, mempunyai obesiti, kolesterol dan penyakit jantung mengalami sesak nafas di pertengahan perjalanan ke puncak gunung tersebut, kira-kira 3.7 Kilometer dari kaki gunung.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 3.29 petang.

Sejurus itu katanya, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau telah bergerak ke lokasi untuk membawa mangsa turun ke kaki gunung.

Beliau berkata, setibanya di kaki gunung Kampung Podam, anggota bomba dibantu oleh seorang petunjuk arah untuk bergerak ke lokasi keberadaan mangsa.

“Anggota bomba turut dibantu seramai lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lapan orang penduduk kampung.

Pasukan penyelamat mengambil masa dua jam 30 minit untuk sampai ke lokasi keberadaan mangsa.

“Perjalanan mengambil masa dua jam 30 minit bagi pasukan penyelamat tiba di tempat mangsa berada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bantuan dari APM dan penduduk kampung tiba ke tempat mangsa pada jam 8.45 malam untuk membantu membawa mangsa.

Namun katanya, proses membawa mangsa turun rumit kerana laluan curam dan sempit tambahan mangsa mempunyai keberatan 110 kilogram.

“Mangsa selamat sampai di bawah pada jam 10.20 malam dan terus dibawa ke hospital oleh abang mangsa,” jelasnya.

Sementara katanya, tiga pelajar perempuan dan empat pelajar lelaki selamat sampai di Pusat Kawalan Bomba pada jam 8.15 malam dalam keadaan keletihan dan dahaga.

Operasi ditamatkan pada jam 10.30 malam.

Mangsa dalam keadaan lemah dibawa turun oleh anggota bomba, APM dan penduduk kampung ke kaki gunung. Mangsa tiba pada jam 10.20 lalu terus dibawa ke hospital oleh abang mangsa.

Suara Sarawak