KUCHING: Seiring dengan keputusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak memutuskan untuk beralih ke fasa endemik dan membuka sempadan berkuat kuasa 1 April ini.

Justeru Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak mengambil keputusan untuk melonggarkan beberapa syarat bagi pengembara yang ingin datang ke negeri ini.

Antaranya ialah pengembara ke Sarawak tidak perlu memohon EnterSarawak dan mengisi Borang Pengisytiharan eKesihatan (eHDF). “Bagaimanapun, pengembara perlu memuat naik aplikasi MySejahtera dan mengisi borang soal selidik yang berkaitan dalam aplikasi berkenaan,” katanya.

DOUGLAS UGGAH EMBAS

Selain itu jelas Uggah, pelancong dari luar negara dibenarkan masuk tanpa perlu memohon daripada My Travel Pass.

“Bagaimanapun, mereka perlu memuat turun dan mengisi borang Pre Departure Form menerusi Traveller Icon di aplikasi MySejahtera. “Dalam pada itu, SOP berkaitan Covid-19 untuk mereka yang datang melalui udara dan darat (salinan SOP itu akan disediakan),” katanya dalam sidang media, pada Isnin.

Tambah Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak, pasukannya kini sedang menyediakan keperluan keselamatan di lapangan terbang.  “Kita berharap sebaik sahaja sempadan dibuka, kerumitan dan kesesakan yang biasanya berlaku di kawasan berkenaan dikurangkan.

“Kita juga berharap dapat menyediakan sistem yang mudah ketika membuat saringan kerana apabila pelancong datang, mereka akan diuji sekali gus membuatkan pelancong terpaksa menunggu,” jelasnya.  Pihaknya kini berbincang dengan Brunei dan Indonesia mengenai prosedur kemasukan menerusi jalan darat.

Beliau juga memaklumkan, pembukaan semula sempadan negeri dengan selamat akan mempunyai sembilan keperluan, dengan butiran lanjut dan kemas kini akan disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Suara Sarawak