KUCHING: Sekitar 2.37 juta rakyat Malaysia dijangka kehilangan status vaksin lengkap menjelang penghujung bulan Mac ini kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, status tersebut boleh dikekalkan sekiranya individu mendapatkan dos penggalak dalam tempoh yang terdekat. “Perubahan status tersebut boleh berlaku sekiranya individu tidak mengambil dos penggalak seperti yang disarankan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebook rasmi KKM, pada Jumaat.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KKM tidak akan melanjutkan lagi tempoh pemberian dos penggalak yang ditetapkan sehingga 31 Mac ini kepada penerima vaksin Sinovac.

Kataya, jika mereka masih enggan mendapatkan vaksin penggalak selepas tarikh berkenaan, status vaksinasi mereka bertukar kepada tidak lengkap. “Jika seseorang gagal berbuat demikian, mereka akan dikira berstatus tidak lengkap vaksinasi dan akan tertera di dalam aplikasi MySejahtera,” jelasnya sebelum ini.

Justeru, orang ramai digesa untuk mengambil suntikan dos penggalak bagi meningkatkan lagi daya tahan terhadap wabak Covid-19, di samping mengekalkan status vaksin lengkap dalam aplikasi MySejahtera. Sehubungan itu, orang ramai boleh membuat tempahan temu janji vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera atau terus hadir secara walk-in di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) yang terpilih.

Bagi yang ingin menyemak senarai PPV yang menawarkan perkhidmatan walkin, boleh layari laman sesawang https:// vaksincovid.protecthealth.com.my untuk maklumat lanjut.

Suara Sarawak