Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr. Chamil Wariya (baris kedua, lapan kanan), Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Mindy Masonis (baris kedua, tujuh kanan), para speaker dan wakil-wakil media dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia merakam gambar kenangan selepas selesai majlis penutupan dan penyampaian sijil bengkel mengenai peranan media dalam menentang ekstremisme keganasan (CVE) dan radikalisasi yang membawa kepada keganasan di Pullman KLCC, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Seramai 29 wakil media dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia menyertai bengkel mengenai peranan media dalam menentang ekstremisme keganasan (CVE) dan radikalisasi yang membawa kepada keganasan di Pullman KLCC, di sini.

Bengkel yang diadakan bermula 29 hingga 31 Mac ini adalah dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dan South East Asia Regional Centre for Counter Terrorism (SEARCTT).

Justeru dalam sepanjang tempoh bengkel berkenaan, para peserta telah mempelajari lebih banyak tentang isu-isu yang berkaitan dengan menentang ekstremisme keganasan dan radikalisasi yang membawa kepada keganasan.

Usaha pihak berkuasa untuk menjadikan dunia ini tempat yang selamat untuk didiami, sama ada melalui program deradikalisasi atau langkah pencegahan melalui rangka kerja undang-undang tertentu yang telah dilaksanakan turut ditonjolkan kepada mereka.

Selain itu, para peserta juga dibawa melawat ke Pejabat Unit Pemusnah Bom/Unit Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNe)  Bukit Aman, Pulapol KL.

Bengkel telah menampilkan beberapa pakar dalam bidang masing-masing untuk membincangkan pelbagai topik berkaitan ekstremisme keganasan dan radikalisasi.

Mereka terdiri daripada Akil Yunis dari SEARCCT, DCP Normah Ishak dari PDRM, Prof Madya Danial Mohd Yusof dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Thomas K Samuel dari Parti Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Wan Abdul Rahman Wan Yaman dari Jabatan Penjara, Sheril A. Bustaman dari Fat Bidin, Asrul Daniel Ahmad dari SEARCCT dan Zam Musa dari Daily Express.

Malah dalam sepanjang bengkel berlangsung, ia turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr. Chamil Wariya dan Ketua Pengarah Kementerian Luar Negeri Datuk Ganeson Sivagurunathan termasuk wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta hari ini ialah Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Mindy Masonis.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak