Wan Abdul Latiff Wan Jaffar (tiga kiri) sedang menanam pokok Rhu Bukit selepas merasmikan majlis pelancaran kempen 1RAS 1Pokok di Lubok Ria, semalam.

SERIAN: Sebanyak 370 anak pokok hutan yang telah disumbangkan oleh Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Pertanian dan Unimas sempena kempen ‘1 Rakan Alam Sekitar (RAS), 1 Pokok’.

Ia juga selaras dengan kempen penanaman pokok 100 juta di seluruh negara dan sokongan kepada program penghijauan Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, program ini merupakan acara penting bagi sambutan Hari Bumi 2022 Peringkat Negeri Sarawak.

Katanya, kejayaan program ini bergantung kepada penglibatan rakan alam sekitar (RAS) sebagai kumpulan teras bagi pelaksanaan kempen penanaman pokok.

“Malah kejayaan ini juga bergantung kepada penglibatan rakan strategik dalam berkongsi idea dan sumber seterusnya mencapai matlamat utama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran kempen 1RAS 1Pokok dan program pencegahan dan pemantauan kebakaran tanah gambut sempena sambutan hari bumi peringkat negeri 2022 di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (I.A.D.A) di Lubok Ria, semalam.

Pada program tersebut jelasnya, peserta telah menanam sebanyak 150 anak pokok hutan dan pokok buah-buahan.

“Ada yang akan ditanam hari ini (semalam) dan selebihnya akan diserahkan kepada koperasi penduduk melalui ketua kampung untuk ditanam di kawasan I.A.D.A ini.

“Justeru saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Pertanian dan Unimas kerana telah menyumbangkan pelbagai jenis anak pokok untuk program ini,” katanya.

Antara jenis pokok yang disumbangkan oleh ketiga-tiga agensi dan institut ini adalah anak pokok hutan seperti pokok Rhu Bukit, Nyatuh Ramin dan pokok buah-buahan seperti Kristal, Dabai, Jambu dan Mata Kucing.

Sementara itu, Abdul Latiff juga menyatakan bahawa JAS telah diperuntukkan sejumlah RM280,000 bagi program komuniti kawalan dan pencegahan kebakaran gambut.

Justeru katanya, sepanjang program itu, masyarakat didedahkan dengan kepentingan infrastruktur yang dibina dalam mencegah kebakaran gambut dan kawasan lain yang berisiko untuk terbakar.

Suara Sarawak