KUCHING: Sebanyak 497 kes tibi dilaporkan di Bahagian Kuching pada 2021 dan jumlah yang sama turut direkodkan pada 2020. Jumlah tersebut bersamaan dengan nisbah kadar insiden seramai 61.1 kes bagi setiap 100,000 penduduk di sini.

Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr Eunice Melissa Joseph berkata, sepanjang minggu ini sahaja sebanyak 107 kes Tibi dikesan di Bahagian Kuching dengan seramai 858 kontak telah dikenal pasti.

“Justeru itu, adalah amat penting pelbagai usaha sedang dan akan dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dalam mencegah dan mengawal penyakit penyakit ini.

“Antaranya membuat siasatan kes-kes yang disahkan tibi untuk tujuan pengesanan kontak dan seterusnya mereka akan menerima rawatan dan saringan kesihatan akan di buat di klinikklinik sekitar sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Hari Tibi Sedunia 2022 Peringkat Bahagian Kuching di Klinik Kesihatan Jalan Masjid, di sini, pada Jumaat.

Foto BBcats

Tambahnya, pihaknya turut mengadakan banyak aktiviti saringan di lapangan terutama kawasan yang mempunyai dua atau lebih kes tibi berdaftar. “Kes yang berjaya di kesan melalui program ini akan menerima rawatan selanjutnya bagi mengekang penyebaran penyakit ini dalam komuniti tersebut.

“Setakat in kita telah membuat saringan di empat lokaliti iaitu di RPR Batu Kawa, SPS Batu Kawa, Kampung Bumbok dan Kampung Jawa Semenggok melibatkan seramai 1,380 penduduk telah disaring,” ujarnya. Selain itu, katanya Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) juga telah menjalankan kerjasama erat dengan Persatuan Pencegah Tibi Sarawak dalam bantuan dan kerjasama menjalankan aktiviti kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Pada tahun ini juga buat julung kalinya kita menganjurkan Larian Virtual Hari Tibi Sedunia Kuching 2022 melalui aplikasi BookDoc.

“Cabaran ini berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 31 Mac 2022 dan sebanyak 2,944 penyertaan diterima dengan objektif cabaran mempromosikan kesedaran mengenai penyakit tersebut,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu mencadangkan agar pendekatan cabaran larian secara virtual tersebut akan diteruskan untuk sambutan hari-hari kesihatan yang lain. “Ini bagi mempromosikan kesedaran, meningkatkan komitmen serta sokongan pelbagai pihak terhadap usaha-usaha kawalan dan juga pencegahan penyakit tibi,” katanya lagi.

Suara Sarawak