585 ekor babi dilupuskan, dua ladang dikesan dijangkiti ASF di Miri

MIRI: Sebanyak 585 ekor babi komersial dilupuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak sepanjang operasi bersepadu yang dilaksanakan di Miri pada 9 dan 10 Mac lalu.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, tindakan tersebut diambil susulan pengesanan kes penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di dua ladang komersial babi berlesen di bahagian terbabit.

“Pada masa sama, kerja-kerja sanitasi ladang turut dilaksanakan bagi memastikan penularan wabak ini dapat dikawal dengan lebih efektif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menekankan agar masyarakat tidak menyampaikan berita yang boleh menimbulkan kekeliruan.

“Elakkan menular video atau pesanan ringkas yang tidak dapat dipastikan kesahihan kerana ini hanya akan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak sentiasa proaktif dalam kerja-kerja pemantauan bagi memantau penyakit ini agar jaminan kualiti pada bekalan daging babi yang terdapat dipasaran selamat untuk dimakan.

Secara mudahnya, ASF merupakan sejenis penyakit yang hanya menyerang ternakan babi dan tidak zoonotik.

Suara Sarawak