Pui Jin Tung; Datuk Jonathan Chai; Lam Lee Onn dan Rodger Chan ketika lawatan ke Program Imunisasi Covid-19 PICKids 5-11 Tahun di SJK Chung Hua No.4

KUCHING: Sekitar 83 peratus kanak-kanak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua No.1 hingga No.6 di sini sudah menerima vaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids).

Pengerusi Jawatankuasanya Datuk Jonathan Chai berkata, sasaran pihaknya adalah memastikan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun mendapatkan satu dos vaksin sebelum kelas bermula pada 21 Mac.

“Setakat ini, enam buah sekolah SJK Chung Hua di Kuching mempunyai kadar vaksinasi yang sangat menggalakkan dan berdasarkan data kerajaan, kadar di sekolah ini adalah sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan ke Program Imunisasi Covid-19 PICKids di SJK Chung Hua No.4, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, angka tersebut sentiasa berubah kerana ada ibu bapa atau penjaga yang telah membawa anak-anak mereka mendapatkan vaksin di tempat lain selain di sekolah.

Hadir sama, Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan di Kuching, Samarahan dan timbalan presiden Serian Rodger Chan, Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan SJK(C) Chung Hua No.4 Lam Lee Onn dan Pengetua Pui Jin Tung.

Suara Sarawak