SERIAN: Kerajaan negeri melantik 90 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) daripada kalangan penjawat awam untuk ditempatkan di pelbagai jabatan kementerian, badan-badan berkanun dan agensi kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Badar berkata, usaha tersebut bagi memastikan integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik di dalam sesebuah pentadbiran.

Katanya, ia merupakan hasil cetusan idea Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang kini berjaya melahirkan seramai 90 pegawai Integriti Bertauliah termasuk 10 orang CelO sedia ada.

Adun Tebedu Dr Simon Sinang Badar (tiga dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada salah seorang penceramah jemputan.

“Kerajaan Sarawak telah mengeluarkan pekeliling mengenai penubuhan serta terma rujukan Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) untuk kementerian, bahagian dan Jabatan di negeri Sarawak.

“Justeru, pelantikan ini akan memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh serta meningkatkan semangat patriotik di kalangan penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Seri Juanda Jaya sekali gus merasmikan Majlis Jelajah Integriti di Dewan Masyarakat Tebedu, Serian, hari ini.

Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak turut membuka ruang kepada masyarakat umum untuk memberi pandangan yang konstruktif tentang mutu penyampaian perkhidmatan awam negeri menerusi fungsi pengurusan aduan ombudsman Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION).

Tegasnya, ia merupakan salah satu fungsi utama UNION iaitu menerima aduan dan cadangan daripada orang awam (individu) berkaitan dengan perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan.

“Semua aduan diteliti dan disiasat berdasarkan amalan antarabangsa Ombudsman iaitu kebebasan, berkecuali, kesaksamaan, kerahsiaan dan tidak rasmi,” ulasnya.

Suara Sarawak