JUARA… Awla (tiga kanan) menyarungkan pingat kepada beregu Abg Syazwan dan Izzul Amir.

KUCHING: Abg Syazwan dan Izzul Amir muncul johan kejohanan mini Kelab Badminton Hala OnePrima (HOPBC) selepas berjaya mengalahkan beregu pilihan dalam aksi final dengan keputusan (21-17), (19-21) (21-7).

Naib juara dimenangi oleh Mohd Amir Asyraf bersama gandingannya, Muhd Ikhwan manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Danial Hakim dan Ziyad Iskandar.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Idris.

Johan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100, pingat dan sijil, naib juara pula menerima wang tunai RM70, pingat dan sijil, pemenang tempat ketiga menerima RM50, pingat dan sijil manakala peserta-peserta lain turut diberikan sijil penghargaan.

Kejohanan selama sehari itu yang berlangsung di Dewan Persatuan Badminton Samariang mendapat penyertaan daripada 10 beregu lelaki, yang terdiri daripada golongan belia dan Ahli Kelab Remaja Hikmah Kuching.

Presiden HOPBC, Wan Lukmanhakim Wan Sajali berkata program itu diadakan bagi memberi ruang dan peluang kepada belia berpotensi dalam sukan badminton untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

Tambahnya, ia antara usaha kelab dalam mencari bakat muda di samping membuka pendaftaran ahli melalui sistem pengurusan badan sukan negeri Sarawak.

“Dengan adanya sambutan menggalakkan seperti ini akan membuka peluang kepada peserta untuk menjadi ahli dan diserapkan sebagai pemain badminton sama ada menjadi wakil di peringkat bahagian, daerah mahupun peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

SEMANGAT…Awla (tiga kanan, bawah) dan Wan Lukmanhakim (empat kanan, bawah) bersama peserta kejohanan mini Kelab Badminton Hala OnePrima (HOPBC).

Suara Sarawak