KUCHING: Seorang bekas pekerja pencuci pinggan dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana memukul seorang warga emas hingga menyebabkan cedera parah.

Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman terhadap Kim Fook, 31, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mencederakan Thuan Min,65, menggunakan senjata sebuah kerusi plastik untuk menyerang mangsa di sebuah tokong di Taman Kenyalang, di sini, sekitar jam 10.30 pagi, 10 Februari lepas.

Tertuduh dibawa keluar oleh anggota polis selepas selesai sebutan kes di Mahkamah Sesyen.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 12 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pengadu yang bertugas sebagai penjaga tokong telah didatangi seorang lelaki lalu mengambil teko teh yang digunakan untuk sembahyang untuk diminum.

Pengadu menegur perbuatan lelaki terbabit, namun dia lalu dipukul menggunakan kerusi plastik dan mengalami kecederaan lebam dan patah jari tangan kiri, luka tangan kanan dan kesakitan di bahagian belakang.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfazlin Mahmad Zulhasnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak