Aksi SU FC menentang Ultimate FC penanda aras terbaik
REBUT…Bintang import SU FC, Lee Chang Hoon (kiri) merupakan watak penting di bahagian tengah. – FOTO GHAZALI BUJANG

KUCHING: Penolong Jurulatih Sarawak United FC (SU FC), Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah menyifatkan persefahaman antara pemain dalam pasukannya ketika ini penanda aras terbaik untuk bersedia menghadapi saingan Liga Super 2022.

Perubahan ketara itu diambil kira ketika kemenangan besar (7-0) dicatat SU FC keatas Ultimate FC pada perlawanan pusingan pertama Piala FA 2022.

“Ini menunjukkan satu perkembangan yang baik dari peningkatan persefahaman dipamerkan oleh para pemain.

“Diharap perkembangan positif ini akan dapat diterjemah pada perlawanan Liga Super nanti,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Nurfaizal, ia penting dalam usaha mereka mengintai kemenangan sulung selepas gagal meraih sebarang mata pada dua perlawanan sebelumnya.

Tegasnya, ketika ini pemain diberi cuti rehat beberapa hari dan akan kembali menyambung semula sesi latihan minggu depan.

Selepas ini, tiga perlawanan membabitkan anak-anak buah B.Sathianathan berlangsung dilaman sendiri (Stadium Negeri, Petra Jaya).

Mereka akan menentang Penang FC (5 April), menentang jiran tetangga Sabah FC (10 April) dan diikuti perlawanan menentang Terengganu FC pada 17 April.

Suara Sarawak