GEDONG: Anak Sarawak mesti mempunyai minda yang sihat dan cergas dalam usaha membantu kerajaan membangunkan negeri ini mencapai status maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sasaran tersebut dapat dicapai dengan penglibatan aktif golongan belia dan bidang sukan termasuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Oleh itu, saya memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menggalakkan penglibatan orang ramai.

“Ia dapat membantu negeri melahirkan belia yang aktif bukan hanya dari sudut sukan tetapi juga keusahawanan ke arah ekonomi digital seperti penggunaan IOT dan e-dagang,” katanya.

Abang Johari yang juga Adun Gedong berkata demikian pada Perasmian Program Sarawak X-Tive Peringkat Negeri 2022 di Gedong, hari ini.

“Dengan mengamalkan gaya hidup aktif bersukan serta mempunyai pengurusan masa yang baik, rakyat negeri ini akan sentiasa mempunyai minda yang cergas dan rasional serta tidak mudah menyerah kalah,” ujarnya.

Program yang julung kali diadakan itu melibatkan pelaksanaan serentak di seluruh 12 bahagian dengan diketuai oleh Adun, wakil rakyat serta pemimpin kawasan masing-masing.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia, Skan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Suara Sarawak