Ambulans membawa tiga penumpang dan seorang pesakit dari Sarikei menuju ke HUS Kuching dilanggar dari arah belakang.

KOTA SAMARAHAN: Sebuah ambulans dalam perjalanan menghantar pesakit ke Hospital Umum Sarawak (HUS) terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 14, Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.40 pagi ketika ambulans yang dipandu lelaki berusia 46 tahun, dalam perjalanan ke Kuching dari Sarikei.

Menurutnya, ambulans yang membawa tiga orang penumpang termasuk seorang pesakit itu ada membunyikan siren serta menyalakan lampu kecemasan.

“Apabila tiba di selekoh lokasi kejadian, pemandu ambulans memandu secara perlahan kerana terdapat kenderaan di hadapan bergerak dengan perlahan.

“Bagaimanapun, ambulans berkenaan tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang dipandu lelaki berumur 34 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, pemandu serta penumpang ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pesakit bersama dua penumpang iaitu ahli keluarga dan seorang jururawat diserahkan kepada Ambulans Klinik Semera Asajaya di lokasi kemalangan untuk di bawa ke HUS, Kuching.

Tambahnya, ambulans terbabit mengalami kerosakkan di bahagian belakang, pintu belakang dan pecah cermin belakang.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kelihatan bahagian hadapan lori yang remuk setelah melanggar sebuah ambulans.

Suara Sarawak