Mangsa ditemui mati dengan kesan tembakan di dalam sebuah pikap yang terbabas dan melanggar pokok di Jalan Riam, Hiltop, Miri, semalam.

MIRI: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Koperal, ditemui mati dengan kesan tembakan pada rusuk kiri di dalam pikap yang dipandunya di Jalan Riam, Hiltop, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 8.30 malam berhubung sebuah pikap terbabas dan melanggar sebatang pokok di lokasi kejadian.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah bergegas ke lokasi kejadian dan hasil siasatan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian serta mempunyai kesan tembakan.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan mendalam ke atas kes ini untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi Inspektor Mohd Firdaus Hanafiah Zulkifley di talian 085-433730.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sah di media sosial atau membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan pihak polis.

Suara Sarawak