Kiri: Azizul Annuar Adenan; Datuk Gerald Rentap Jabu bersama yang lain melawat Kompleks Sukan Lundu untuk mengenalpasti kerosakan yang ada. Foto: Alief Noni

LUNDU: Menyediakan kemudahan sukan yang baik amat penting bagi melahirkan atlet yang bertaraf dunia, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu.

Menurutnya, keadaan fasiliti yang tidak baik di kompleks sukan bukan hanya boleh menyebabkan berlakunya kecederaan, malah mengundang bahaya yang tidak diingini.

“Justeru, Majlis Daerah Lundu disarankan untuk menulis surat kepada pihak kementerian agar pelaksanaan baik pulih dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Pada masa sama, kementerian akan berusaha untuk menyediakan peruntukan agar pusat sukan di kawasan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Majlis Daerah Lundu, di sini, hari ini.

Sementara, Adun Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan memberitahu kompleks tersebut penting untuk pembangunan belia dari aspek sukan.

“Lundu juga banyak melahirkan atlet dalam kalangan golongan muda. Justeru agak merugikan jika peluang tersebut disia-siakan demi kepentingan sukan negara,” katanya.

Norashikin Brahim; Azizul Annuar Adenan; Datuk Gerald Rentap Jabu dan Gustian Duraini meninjau keadaan Kompleks Sukan Lundu

Suara Sarawak